Terima keputusan mahkamah mengenai isu kalimah Allah, kata Jamil Khir..
October 14, 2013
Semua pihak harus menerima keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang penerbitan mingguan Katolik, Herald, menggunakan kalimah Allah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar)
Jamil Khir berkata kerajaan menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan rayuan kerajaan serta sembilan perayu lain untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah 'Allah' sebagai merujuk kepada 'Tuhan'.
Keputusan mahkamah itu dianggap sebagai hadiah untuk umat Islam Malaysia sempena hari wukuf di Arafah, katanya kepada pemberita di sini hari ini..
Dalam keputusan itu, panel tiga anggota hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali berkata: "Ia adalah dapatan bersama kami bahawa penggunaan nama 'Allah' bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian". – Bernama, 14 Oktober, 2013.
Kronologi
pertikaian penggunaan kalimah Allah bermula pada pada 16 Februari 2009
apabila Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam
memfailkan semakan kehakiman berhubung penggunaan kalimah Allah dalam
penerbitan gereja iaitu The Herald serta menamakan Kementerian Dalam
Negeri dan kerajaan sebagai responden.
Gereja itu menuntut, antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah, dan kalimah Allah bukanlah eksklusif kepada agama Islam.
Majalah mingguan Katolik yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan untuk God bagi seksyen bahasa Malaysia namun kerajaan berhujah bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh orang Islam sahaja.
Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memerintahkan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan akhbar mingguan The Herald itu daripada menggunakan kalimah Allah dalam majalah edisi bahasa Malaysia, adalah menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.
Pada 5 Januari 2010, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Herald – The Catholic Weekly.
Pada Julai 2013 Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur memfailkan permohonan bagi membatalkan permohonan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik The Herald..
No comments:
Post a Comment